PERLEMBAGAAN



PERLEMBAGAAN PERSATUAN ALUMNI
SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BATU,PANTAI REMIS, PERAK 

KANDUNGAN

FASAL 1 - NAMA

FASAL 2 - TEMPAT URUSAN

FASAL 3 - LAMBANG

FASAL 4 - TUJUAN/MATLAMAT

FASAL 5 - KEAHLIAN

FASAL 6 - BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

FASAL 7 - PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 8 - MESYUARAT AGUNG

FASAL 9 - MESYUARAT AGUNG KHAS

FASAL 10 - JAWATANKUASA

FASAL 11 - KEWAJIBAN-KEWAJIBAN PEGAWAI

FASAL 12 - KEWANGAN

FASAL 13 - PEMERIKSA KIRA-KIRA

FASAL 14 - PEMEGANG AMANAH

FASAL 15 - TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

FASAL 16 - PENASIHAT DAN PENAUNG

FASAL 17 - LARANGAN

FASAL 18 - PINDAAN PERLEMBAGAAN

FASAL 19 - PEMBUBARAN


FASAL 1 - NAMA

Persatuan ini dikenali dengan nama PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BATU, PANTAI REMIS, PERAK atau ringkasnya ALUMNI SKSB, yang selepas ini disebut sebagai Persatuan.

FASAL 2 - TEMPAT URUSAN

(1) Alamat tempat urusan Persatuan ialah SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BATU 34900 PANTAI REMIS PERAK atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa, dan alamat untuk surat menyurat ialah SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BATU 34900 PANTAI REMIS PERAK.

(2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 - LAMBANG

(1) Lambang Persatuan adalah seperti di bawah:-


(2) Huraian Lambang:

(a) Lambang Persatuan ini diilhamkan dari LENCANA SKSB dengan sedikit ubah suai dan penambahan.

(b) Bentuk yang menggabungkan warna kuning dan hitam bersama grafik dua tangkai bunga padi melengkung serta buku yang terbuka adalah bentuk LENCANA SKSB.

(c) Perkataan ALUMNI SK SUNGAI BATU PANTAI REMIS PERAK DARUL RIDZUAN diletakkan di bahagian atas.

(d) Di bawahnya ialah grafik lapan titik bulat di empat garisan orbit bujur yang membentuk seperti bintang lapan bucu.

(e) Naskhah buku yang terbuka dan dua tangkai bunga padi melengkung terletak di bahagian bawah bentuk asas.

(f) Gabungan bentuk-bentuk dan perkataan tersebut ditatang oleh grafik sepasang tangan.

(3) Tafsiran Lambang:

(a) Dua Tangkai Bunga Padi Diambil daripada Lambang dan Jata DiRaja negeri Perak Darul Ridzuan, menandakan kebanggaan dan kecintaan kepada negeri.

Bunga padi juga melambangkan suburnya SKSB melahirkan insan berilmu sejak lebih seratus tahun yang lalu. Nilai kesuburan itu juga menjadi pendorong kepada alumni SKSB untuk menabur bakti kepada generasi baru SKSB dan alam pendidikan secara umum.

(b) Buku Terbuka Melambangkan komitmen kepada kepentingan usaha menguasai ilmu pengetahuan.

(c) Titik Berorbit Membentuk Rupa Bintang Lapan Bucu Mewakili nilai inovasi, kreativiti dan penerokaan yang menjadi asas kejayaan dan kecemerlangan.

(d) Sepasang Tangan Melambangkan kesyukuran kepada Tuhan dan tanda ingatan kepada SKSB yang merupakan institusi pendidikan formal terawal bagi semua alumni SKSB.

(4) Tafsiran Warna

(a) Kuning dan Hitam

Menandakan kebanggaan dan kecintaan kepada negeri Perak Darul Ridzuan.

(b) Putih (sepasang tangan)

Melengkapkan warna daripada Bendera Negeri Perak selepas kuning dan hitam. Warna putih juga menandakan keindahan, ketenangan, keikhlasan dan niat suci semua warga SKSB dan ahli-ahli Persatuan.

(c) Kuning Emas (bunga padi)

Mewakili semangat dan jatidiri ahli-ahli Persatuan untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada warga SKSB dan penduduk setempat.

(d) Hijau, Ungu, Merah dan Biru (titik berorbit)

Menandakan kata sepakat, toleransi dan kerjasama di antara ahli-ahli Persatuan serta persefahaman dengan semua kelompok dalam masyarakat untuk mencapai cita-cita bersama.

(5) Tafsiran Perkataan

Alumni SK Sungai Batu Pantai Remis Perak Darul Ridzuan

Bekas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis, Perak Darul Ridzuan sama ada yang melengkapkan pembelajaran di sekolah ini sepanjang tempoh umur persekolahan peringkat rendah atau yang hanya pernah bersekolah di sekolah ini bagi tempoh yang sesingkat mana pun.

FASAL 4 - TUJUAN/MATLAMAT

(a) Memupuk persaudaraan di antara sesama bekas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis, Perak (selepas ini disebut SKSB).

(b) Membina hubungankerjasama dengan guru-guru dan kakitangan SKSB untuk urusan dan hal ehwal kecemerlangan murid-murid serta kebajikan penduduk setempat.

(c) Menjalin kerjasama dengan semua pihak untuk mengusahakan kecemerlangan murid-murid SKSB dan sekolah-sekolah berdekatan dalam hal shakhsiah, akademik dan ko-kurikulum.

(d) Menjalin kerjasama dengan semua pihak untuk mendapatkan sumber bagi pembangunan SKSB merangkumi kemudahan asas, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan sukan, kemudahan aktiviti ko-kurikulum dan lain-lain kemudahan yang berkaitan.

(e) Meneroka ruang kerjasama di antara sesama bekas murid SKSB untuk meningkatkan pencapaian diri dan keluarga serta masyarakat setempat dalam bidang pendidikan, kualiti hidup dan kerjaya.

(f) Menjalankan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan rekreasi untuk ahli-ahli dan warga SKSB.

FASAL 5 - KEAHLIAN

Keahlian adalah terbuka kepada semua bekas murid SKSB yang berumur 18 tahun ke atas.

(a) Permohonan menjadi ahli hendaklah dengan cara mengisi borang yang disediakan oleh Persatuan ini dengan disokong oleh seorang ahli. Borang permohonan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha. 

(b) Setiausaha hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa untuk dipertimbangkan kelulusannya.

(c) Jawatankuasa boleh meluluskan atau tidak meluluskan sesuatu permohonan untuk menjadi ahli mengikut budibicaranya tanpa memberikan sebab-sebabnya.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama yang ditetapkan, diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia menjadi ahli.

FASAL 6 - BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

(a) Bayaran masuk: RM 10.00 (RINGGIT MALAYSIA SEPULUH SAHAJA)

(b) Yuran tahunan: RM 5.00 (RINGGIT MALAYSIA LIMA SAHAJA)

(2) Yuran tahunan hendaklah dibayar kepada Bendahari sebelum 31 haribulan Mac tiap-tiap tahun.

(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi 5 tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan. 

FASAL 7 - PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis satu (1) bulan terlebih dahulu kepada Setiausaha dan membayar segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.

(3) Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu sebab-sebab pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 8 - MESYUARAT AGUNG

(1) Mesyuarat Agung hendaklah diadakan setahun sekali selepas 15 haribulan Januari dan sebelum 31 haribulan Mei tiap-tiap tahun. Tarikh, masa dan tempat Mesyuarat Agung hendaklah ditetapkan oleh Jawatankuasa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa.

(2) Notis memanggil Mesyuarat Agung yang menyatakan tarikh, masa dan tempat mesyuarat itu hendaklah dihantar oleh Setiausaha kepada semua ahli-ahli selewat-lewatnya empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung. Notis itu hendaklah disertakan dengan agenda, minit Mesyuarat Agung yang lepas, laporan aktiviti dan penyata kewangan yang telah diaudit.

(3) Korum bagi Mesyuarat Agung ialah setengah (1/2) daripada bilangan ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang.

(4) Jika korum tidak cukup selepas satu (1) jam daripada waktu yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam notis panggilan, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dan tarikh itu hendaklah tidak lebih daripada tiga puluh (30) hari selepas ditangguhkan.

(5) Bagi Mesyuarat Agung yang ditangguhkan itu, jika korum tidak cukup selepas satu (1) jam daripada waktu yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam notis panggilan, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan Persatuan dan tidaklah berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(6) Agenda Mesyuarat Agung ialah:

(a) menerima dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung tahun sebelumnya;

(b) menerima dan meluluskan laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan dan aktiviti Persatuan bagi tahun sebelumnya;

(c) menerima dan meluluskan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun sebelumnya;

(d) memilih Ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira untuk tempoh dua (2) tahun iaitu sehingga dua kali Mesyuarat Agung yang akan datang; dan

(e) membincangkan perkara-perkara lain yang dibentangkan sebagai agenda khas di dalam mesyuarat itu. 

FASAL 9 - MESYUARAT AGUNG KHAS

(1) Mesyuarat Agung khas bagi persatuan ini boleh diadakan:

(a) bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau

(b) atas permintaan beramai-ramai secara bertulis oleh tidak kurang daripada dua perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi. Permintaan bertulis itu hendaklah mengandungi keterangan tentang tujuan dan sebab untuk mengadakannya, dan permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha.

(2) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan bertulis itu.

(3) Notis dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(4) Fasal 8 (3) dan 8 (4) di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas satu (1) jam daripada waktu yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam notis panggilan, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

FASAL 10 - JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung setiap dua (2) tahun sekali:

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Setiausaha
Seorang Bendahari
Lima (5) Orang Ahli Jawatankuasa

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan, disokong dan dipilih dengan cara pengundian oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan pemilihan. Pengundian boleh diadakan secara terbuka atau secara tertutup (menggunakan kertas undi). Semua pegawai boleh dilantik semula pada setiap Mesyuarat Agung pemilihan.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 4 bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa tidak lewat daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 5 orang ahli Jawatankuasa secara bersama-sama, boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Korum Mesyuarat Jawatankuasa ialah setengah (1/2) daripada bilangan Ahli-ahli Jawatankuasa.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling.

Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang menasabah mengikut budibicara Jawatankuasa, adalah disifatkan sebagai telah meletakkan jawatannya.

(8) Jika seorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu, selepas nama-nama yang telah terpilih sebagai Jawatankuasa, hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau atau calon itu menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan mana-mana pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

FASAL 11 - KEWAJIBAN-KEWAJIBAN PEGAWAI

(1) Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat itu. Presiden mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit mesyuarat setelah ia diluluskan. 

(2) Timbalan Presiden hendaklah membantu Presiden dalam menjalankan kewajiban-kewajibannya dan memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha hendaklah:

(a) menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut Perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan mesyuarat Jawatankuasa;

(b) mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas yang berkaitan dengan pentadbiran Persatuan kecuali akaun bank dan buku-buku kewangan;

(c) menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama, alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli;

(d) membuat catatan mesyuarat dan menyediakan minit mesyuarat untuk dibentangkan di dalam mesyuarat seterusnya;

(e) mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966 dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung diadakan.

(4) Bendahari hendaklah:-

(a) bertanggungjawab bagi semua hal kewangan Persatuan.

(b) membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(c) menandatangani semua cek dan kenyataan pengeluaran wang daripada akaun bank Persatuan bersama-sama salah seorang daripada Presiden atau Setiausaha.

(5) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

FASAL 12 - KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk apa-apa jua perkara bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah:-

(a) Perbelanjaan pentadbiran am Persatuan merangkumi bayaran gaji, saguhati dan upah pegawai-pegawai atau kakitangan Persatuan atau pihak yang diupah oleh Persatuan.

(b) Perbelanjaan mencetak, menerbit dan mengedarkan risalah, majalah, kertas berita atau lain-lain penerbitan untuk faedah ahli-ahli dan lain-lain pihak yang dinyatakan di dalam tujuan-tujuan Persatuan.

(c) Perbelanjaan mengadakan atau menganjurkan aktiviti Persatuan.

(d) Bayaran dan perbelanjaan untuk mengadakan program dan projek Persatuan termasuk pembangunan premis Persatuan, projek menjana pendapatan Persatuan dan membiayai program murid atau warga SKSB. 

(2) Wang Persatuan tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(3) Bendahari boleh menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (RINGGIT MALAYSIA LIMA RATUS SAHAJA) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun bank Persatuan.

(4) Semua cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun bank Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua (2) daripada tiga (3) orang penama akaun bank Persatuan iaitu Presiden, Setiausaha dan Bendahari.

 Pada bila-bila masa pun, Bendahari hendaklah menjadi salah seorang daripada yang menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun bank.

(5) Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 (RINGGIT MALAYSIA SATU RIBU SAHAJA) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.

(6) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1,000.00 (RINGGIT MALAYSIA SATU RIBU SAHAJA) bagi sesuatu masa hanya boleh dibayar dengan diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa.

(7) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 20,000.00 (RINGGIT MALAYSIA SEPULUH RIBU SAHAJA) bagi sesuatu masa hanya boleh dilakukan dengan mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu.

(8) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 13 Perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung selepas tahun kewangan yang berkenaan dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(9) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1 haribulan Januari dan berakhir pada 31 haribulan Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 13 - PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua (2) orang yang bukannya Pegawai Persatuan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan pemilihan, sebagai Pemeriksa kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setiap tahun kewangan dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Mereka juga hendaklah mengaudit kira-kira Persatuan pada bila-bila masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka apabila dikehendaki oleh Presiden dan seterusnya membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 14 - PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindah milik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung.

(3) Seseorang Pemegang Amanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain-lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya dengan memuaskan. Jika seseorang Pemegang Amanah mati, meletak jawatan atau dipecat maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

FASAL 15 - TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

(1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini, dan jika mustahak, Jawatankuasa boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 16 - PENAUNG DAN PENASIHAT

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penaung atau Penasihat bagi Persatuan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis. 

FASAL 17 - LARANGAN

(1) Semua jenis permainan atau aktiviti yang bersifat perjudian sama ada jenis yang termaktub di dalam mana-mana undang-undang yang berkaitan atau yang dimaklumi secara umum sebagai perjudian, adalah tidak dibenarkan di dalam rumah Persatuan dan tidak boleh dianjurkan oleh Persatuan di mana-mana sekali pun; 

(2) Semua jenis perbuatan atau kegiatan yang melibatkan minuman keras dan najis dadah adalah tidak dibenarkan di dalam rumah Persatuan dan tidak dibenarkan di dalam mana-mana majlis, aktiviti dan program Persatuan.

FASAL 18 - PINDAAN PERLEMBAGAAN

(1) Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung.

(2) Permohonan untuk pindaan Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari daripada tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan pindaan itu.

(3) Setiap pindaan Perlembagaan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

(4) Satu naskhah Perlembagaan Persatuan yang dicetak dalam Bahasa Malaysia hendaklah diletakkan di suatu tempat yang mudah dilihat di Pejabat Persatuan yang didaftarkan.

FASAL 19 - PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini tidak boleh dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perempat (3/4) daripada jumlah ahli yang hadir dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan sepenuhnya. Baki wang dan harta yang tinggal hendaklah dibahagikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan selewat-lewatnya 14 hari dari tarikh pembubaran itu.