16 Februari 2011

SEJARAH KG SUNGAI BATU


3:09 PG |

Lama sesudah zaman Antah Berantah dan zaman Gangga Negara, kampung Sungai Batu bermula sebagai penempatan baru yang sangat kecil dengan nama asalnya Sungai Agas. Keluarga besar warga kampung Sungai Batu hari ini hanya bermula pada petengahan abad ke 19 iaitu sekitar tahun 1830-1870 Masehi di era saki baki tempoh penjajahan Belanda dan Inggeris. Zaman kegemilangan Kerajaan Gangga Negara yang berpusat di Bruas dan zaman Antah Berantah yang terkenal dengan pelbagai versi pengkisahan sejarah itu tiada berkait dengan mana-mana nenek moyang penduduk kampung Sungai Batu hari ini.


Penempatan di kampung Sungai Batu hari ini (termasuk di sepanjang tepi jalan kampung Batu 51, Pantai Remis, Batu 17, Pengkalan Bharu, Sungai Tuntung sehingga ke Kampung Tengah Panchor) bermula dengan kedatangan sekumpulan warga negeri Kedah yang berpakat untuk membuka penempatan baru. (kisah ini akan diperincikan di hujung tulisan ini).

Semua kampung atau penempatan yang terletak lebih jauh sedikit ke belakang dari kedudukan jalan raya hari ini merupakan kampung atau penempatan yang baru; iaitu kampung Tanjung Ara, Padang Lenga, Matang Kerian, Matang Kubu, Matang Kurau, Parit Marikan, Tebuk Yan, Ujung Pasir, Matang Jambu dan Kampung Nelayan Sungai Batu (Pantai Tin).

Menurut riwayat daripada warga veteran kampung ini, di sekitar masa yang hampir sama dengan pembukaan kampung Sungai Batu di tanah datar yang bernama Sungai Agas itu, wujud juga penempatan di tanah tinggi Bukit Teluk Sera yang terletak di pinggir kampung Sungai Batu dan mengunjur sehingga ke Tanjung Batu. Kawasan itu menempatkan kira-kira 30 buah rumah dengan penduduk sekitar 100 orang. Kampung itu dipimpin oleh keluarga Tok Chat (mungkin Arshad) yang datang dari utara Pulau Pinang (atau Seberang Perai) yang berketurunan campuran Hainan. Mereka belayar dari utara dan berlabuh di kuala Sungai Kelian (yang terletak di kedudukan bekas lombong hari ini).

Pada suatu masa, perkampungan di Bukit Teluk Sera diserang oleh sejenis 'semut' dalam jumlah yang terlalu banyak sehingga menyebabkan penduduk di situ tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Jumlah semut yang banyak itu sangat mengganggu semua urusan harian. Tempat simpanan makanan dipenuhi semut. Tidur sentiasa diganggu oleh kehadiran semut. Bayi terpaksa diawasi 24 jam supaya selamat daripada hurungan semut. Aktiviti ekonomi juga terganggu kerana ketidakselesaan yang melampau akibat gangguan semut. Akhirnya penduduk sepakat mengambil keputusan berpindah turun dari tanah tinggi ke tanah datar di tepi sungai berhampiran penempatan sedia ada di kampung Sungai Agas yang kemudiannya bertukar nama kepada Sungai Batu. Penghijrahan ini berlaku pada tahun 1887.

Ketika itu Tok Chat mempunyai seorang anak kecil bernama Ibrahim. Keturunan Ibrahim inilah yang menduduki sebahagian daripada kawasan Permatang Jambu, Matang Kurau, Jalan Parit Marikan dan kampung-kampung berdekatan.

Kesan penempatan tua di tanah tinggi Bukit Teluk Sera masih boleh disaksikan di beberapa tempat sekitar Bukit Teluk Sera hari ini. Sejumlah batu nisan perkuburan lama masih berada di Bukit Teluk Sera. Salah satu daripada kawasan perkuburan itu terletak di bukit dari arah 'Katoq Pandan' (katoq bermaksud aliran air yang menuruni bukit atau air terjun bersaiz kecil).

Bentuk muka bumi kampung Sungai Batu dan seluruh kawasan Manjung Utara ini juga telah melalui proses perubahan bentuk yang ketara dalam tempoh yang panjang. Bukti dan analisis berdasarkan prosedur kajian sejarah menunjukkan sebahagian besar daratan yang membentuk kampung-kampung yang dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, dulunya merupakan lautan yang berpantai di kawasan berhampiran bukit-bukit dari arah Bukit Gantang hingga ke Bruas. Catatan Tun Sri Lanang berkaitan kisah Gangga Negara menceritakan bahtera-bahtera yang masuk untuk berlabuh di pelabuhan Gangga dapat ditinjau dari pos peninjau yang terletak di sekitar bukit di antara Kampung Kota dan Gelung Pepuyu hari ini.

Penemuan beberapa bahagian badan bahtera dan peralatan bahtera besar di sepanjang Sungai Bruas pada jarak antara 9 hingga 17 kilometer daripada muara Sungai Bruas di Pantai Remis iaitu di sekitar hujung kampung Tanjung Ara Dalam dan kampung Bumi Hijau mengunjur sehingga ke kampung Pulau Meranti dan kampung Pulau Kabong membuktikan bahawa muara Sungai Bruas pada zaman dahulu terletak berhampiran dengan pekan Bruas atau di sekitar Kampong Kota Bruas. Gambaran ini membawa kepada benarnya kenyataan bahawa sebahagian besar kampung-kampung yang lebih dekat dengan lautan hari ini masih merupakan lautan pada zaman dahulu.



Keluarga besar kampung Sungai Batu dan kampung-kampung sekitarnya bermula dengan kedatangan Haji Mohd Tahir bin Haji Mohamad Amin bersama abangnya iaitu Haji Mohd Long serta sekumpulan kecil keluarganya dan beberapa orang rakannya.

Bapa kepada Haji Mohd Tahir iaitu Haji Mohamad Amin bin Haji Abdul Rahman menetap di Alor Mengkudu di daerah Kota Setar Kedah. Datuk kepada Haji Mohd Tahir iaitu Haji Abdul Rahman bin Syeikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani atau lebih dikenali sebagai Tok Subuh merupakan ulama' besar berketurunan Arab Yaman yang datang ke negeri Kedah dari Nakhon Si Thammarat (di selatan Thailand hari ini). Beliau datang ke negeri Kedah bersama adiknya Ismail atas arahan bapanya (Syeikh Ahmad) yang diarahkan oleh Khalifah Kerajaan Othmaniah (Turki) untuk membantu Kerajaan Islam Kedah menghadapi rancangan serangan tentera Siam dari arah laut. Selepas berjaya mengalahkan tentera Siam, Haji Abdul Rahman terus menetap di Kedah dan berkahwin dengan gadis tempatan.

Perkahwinan mereka menghasilkan anak tunggal yang diberi nama Mohamad Amin. Haji Mohamad Amin dianugerahkan 6 orang anak iaitu Mohamad Long (kemudian berhijrah ke Perak dan menetap di Batu 17 Pantai Remis), Saad (menetap di Jalan Seri, Alor Setar, Kedah), Halimah (menetap di Sungai Kedak, Kuala Muda), Mohd Tahir (berhijrah ke Perak dan menetap di Sungai Batu, Pantai Remis), Shafie (berhijrah ke Trengganu dan menetap di Losong, Kuala Trengganu) dan Omar (menetap di Merbok, Kedah).

Haji Mohd Tahir dan abangnya Haji Mohd Long yang berhijrah ke Pantai Remis memulakan penempatan di dua seberang Sungai Bruas berhampiran pekan Pantai Remis hari ini. Haji Mohd Long membuka penempatan di seberang bahagian utara sungai (kampung Batu 17 hari ini) dan Haji Mohd Tahir di seberang bahagian selatan sungai (kampung Pantai Remis dan kampung Sungai Batu hari ini). Perkembangan penempatan yang dibangunkan oleh dua beradik ini ditambah pula dengan kedatangan beberapa orang anak Haji Saad dari Lorong Seri, Alor Setar, Kedah (Haji Saad adalah abang Haji Mohd Tahir dan adik kepada Haji Mohd Long).

Haji Mohd Tahir dikurniakan 8 orang cahaya mata iaitu Zabidi, Nawawi, Teh, Ahmad, Mahmud, Maryam, Aishah dan Abdul Hamid.

Haji Mohd Long dikurniakan 9 orang cahaya mata iaitu Senawi, Aishah, Aminah, Ali, Taib, Hussain, Som, Saadiah dan Fatimah.

Bagi maksud penulisan kisah kampung Sungai Batu, Haji Mohd Tahir adalah ayah 'besar' kepada sebahagian besar warga kampung Sungai Batu hari ini. Semua anak-anak Haji Mohd Tahir menetap di kampung Sungai Batu dan sekitarnya, lalu membentuk sebuah keluarga yang sangat besar sehingga ke hari ini. Jumlah cucu Haji Mohd Tahir hasil perkahwinan anak-anaknya ialah seramai 49 orang manakalanya cicitnya berjumlah 247 orang. Pada masa ini (tahun 2011) beberapa orang cucu Haji Mohd Tahir masih merupakan penduduk kampung Sungai Batu dan telah lahir generasi ke 5 selepasnya (satu generasi selepas anak, cucu, cicit, piut ... ?).

Senarai nama anak dan cucu Haji Mohd Tahir adalah seperti berikut:

ANAKCUCU
1 - Zabidi



2 - Nawawi












3 - Teh

4 - Ahmad



5 - Mahmud

6 - Maryam

7 - Aishah


8 - Abdul Hamid
1 - Mat Taib
2 - Mohd Ali
3 - Mariah (Edah)

1 - Muhammad (mati kecil)
2 - Maimunah (mati kecil)
3 - Mohd Yusuf
4 - Aminah
5 - Mohd Amin
6 - Mohd Khir
7 - Harith
8 - Abu Bakar (mati kecil)
9 - Omar (mati kecil)
10 - Kalthum
11 - Asma'
12 - Mohd Rejab

1 - Abdullah

1 - Zainab
2 - Omar (mati kecil)
3 - Othman (mati kecil)

1 - Rahmah

1 - Abu Bakar

1 - Hajar
2 - Hasan

1 - Tahir
2 - Asma
3 - Hawa
4 - Abdul Rahim
5 - Maimunah


13 - Rahimah
14 - Maimunah
15 - Mohamad
16 - Fauziah
17 - Amir
18 - Safura
19 - Hannah
20 - Badariah
21 - Jamilah
22 - Isa
23 - Khadijah
24 - Zabidi

2 - Zainab

4 - Abdul Rahim
5 - Khadijah (Che' Amah)
6 - Maryam



2 - Halimah

3 - Mahmud


4 - Ahmad
5 - Ramlah
6 - Arbaiah


Cucu kepada Haji Mohd Tahir yang masih ada sehingga hari ini (tahun 2011) ialah Mohd Rejab, Rahimah, Maimunah, Mohamad, Amir, Safura, Hannah, Badariah, Jamilah, Isa, Khadijah, Zabidi, Maryam dan Arbaiah.

Foto lama Madrasah Tarbiatul Atfal Ad Diniah Kampung Sungai Batu


... akan bersambung ...


You Might Also Like :


4 ulasan:

shaukei berkata...

Amat menarik sejarah Kg.Sungai Batu..InsyaAllah saya ada bercadang untuk mendokumentasikan sejarah ini..cadangan ini ada dibualkan dengan Ustaz dan Saudara Cop kita, mudah-mudahan ia dapat dilakukan..

Kepada Ustaz & The Gang, hayunnn, teruskan usaha murni ini, selamat berjuang.

Tanpa Nama berkata...

"Cucu kepada Haji Mohd Tahir yang masih ada sehingga hari ini (tahun 2011) ialah Mohd Rejab, Rahimah, Maimunah, Mohamad, Amir, Safura, Hannah, Badariah, Jamilah, Isa, Khadijah, Zabidi, Maryam dan Arbaiah"

- adakah Mohd Rejab adalah ustaz jab?
- artikel ni sgt menarik.
- tahniah admin.

cyberboron berkata...

Untuk makluman Tanpa Nama Rabu 16 Mac - Mohd Rejab tu adalah ustaz Jab.

Norhafizah Hassan berkata...

MasyaAllah.... tok wan pernah cerita dulu bapak kepada moyang nama dia abdul rahman. Saya nak tanya anak kepada abdul rahman yang bernama halimah yg menetap di sungai kedak kuala muda. Admin ada tak senarai nama anak kepada halimah. Nama moyang saya chin